Budak maut terkena kaca dibaling kakak

KUANTAN 22 Okt. – Hanya disebabkan berebut  saluran siaran televisyen, seorang kanak-kanak  lelaki meninggal dunia selepas terkena serpihan  kaca tingkap yang dibaling kakaknya di rumah  mereka Taman Balok Baru di sini semalam.

Muhammad Naili Nafis Zakaria, 14, meninggal  dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan  Balok kira-kira pukul 5.40 petang semalam.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa bergaduh  dengan adik perempuannya yang berusia lima  tahun kerana berebut saluran siaran televisyen.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri,  Supritendan Mohd. Haris Daud berkata, salah  seorang kakak mangsa yang berusia 16 tahun  melihat pergaduhan kedua-dua adiknya itu  sebelum memarahi mangsa.

“Ketika pergaduhan, kakak mangsa dikatakan  secara tidak sengaja mengambil serpihan kaca  tingkap yang pecah di rumah itu sambil  mengacah-acah ke arah mangsa.

“Tiba-tiba, kaca itu telah terlepas dari tangan  kakaknya lalu terkena pangkal paha kanan  mangsa,”  katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat  Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Menurut Haris, akibat balingan tersebut, peha  mangsa mengalami luka dan berdarah dengan  teruk sebelum kanak-kanak itu dihantar ke klinik  kesihatan oleh jirannya.

Bagaimanapun, katanya, mangsa meninggal  dunia ketika menerima rawatan di situ akibat  pendarahan yang banyak selain luka teruk yang  dialami di pahanya.


“Kes ini masih disiasat dan kita juga telah  mengambil keterangan kakak mangsa untuk  siasatan lanjut,” ujarnya.

Sementara itu, datuk mangsa, Abdul Rauf Saleh,  63, berkata, kejadian menyayat hati itu berlaku  ewaktu ibu mangsa pergi menunaikan solat Asar di  surau berdekatan bersama anak bongsunya yang  berusia enam tahun.

“Ketika itu, anak kedua daripada tiga beradik itu  tinggal bersama kakak dan adiknya dan ketika  pulang, ibunya mendapati dia sudah terbaring.

“Semasa kejadian, ayahnya yang bekerja sebagai  pemandu lori berada di Terengganu dan segera  bergegas pulang sebaik menerima berita  kematian anaknya,” katanya.


Bagaimanapun, kedua-dua ibu bapa mangsa  ketika ditemui enggan ditemu bual kerana terlalu  sedih dengan kejadian berkenaan.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah  Perkuburan Islam Balok kira-kira pukul 10 pagi  ini.


Nelayan ditemui selamat selepas 15 jam di laut

KUANTAN 22 Okt. – Seorang awak-awak ditemui  masih hidup walaupun hampir 15 jam  terapung-apung di tengah laut selepas dia terjatuh  dari bot yang dinaikinya di perairan negeri ini  semalam.

Mangsa ditemui pukul 11 pagi ini dalam keadaan  lemah selain badan dipenuhi lumut di permukaan  laut kira-kira 1.5 batu nautika dari perairan di  sini.

Kejadian berlaku pukul 9 malam ketika mangsa,  Harun Ganti Ismail Abu Bakar, 34, bersama tiga  awak-awak dan seorang tekong menaiki sebuah  bot ke tengah laut untuk menangkap ikan.

Menurut tekong terbabit, Kee Kuang Hoi, 58,  mereka semua bertolak dari Jeti Tanjung Api di sini  pada pukul 8 malam untuk pergi menangkap ikan  di perairan Terengganu selama 10 hari.

Katanya, ketika itu mangsa bersama dengan  awak-awak yang lain sedang menjalankan  kerja-kerja pembersihan.

“Saya lihat dia tidak berapa sihat lalu saya  menyuruhnya pergi berehat di bahagian belakang  bot,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, kira-kira sejam kemudian dia pergi  memeriksa mangsa di belakang dan mendapati  dia telah hilang dipercayai sudah terjatuh ke dalam  laut.


“Ketika itu kami berada kira-kira tiga batu nautika  dari Kuantan. Menyedari mangsa sudah tiada  saya kemudian berpatah balik untuk mencarinya  namun tidak menemuinya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat  Kanan II Bukit Ubi, Wan Daud Wan Awang  berkata, mangsa ditemui kira-kira 1.5 batu  nautika dari Kuantan oleh bot nelayan lain yang  sedang dalam perjalanan pulang ke jeti di Tanjung  Api kira-kira pukul 11 pagi ini.

“Mangsa ditemui dalam keadaan lemah dan  sedang terapung-apung serta berlumut di seluruh  badannya," katanya.

Menurut Wan Daud, bomba yang sedang  menjalankan operasi penyelamat kemudian  mengambil mangsa di bot terbabit dan  membawanya ke jeti marin di sini untuk dibawa ke  Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk mendapat  rawatan lanjut.

Tambahnya, seramai lapan anggota dan dua  pegawai terbabit dalam operasi menyelamat itu.



Majlis sambutan Aidilfitri TUDM

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah merangkap Kolonel Yang di-Pertuan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dan Sultanah Kalsom berkenan untuk menghadiri majlis sambutan Aidilfitri TUDM di TUDM Pangkalan Kuantan di sini semalam...